Monday, September 3, 2007

PM mahu tindakan tegas -- Kecewa kerakusan pembangunan rosakkan Taman Pertanian Pilihan

KUALA LUMPUR 22 Feb. - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang cukup kecewa dengan kerakusan pembangunan tanah di sempadan Taman Pertanian Malaysia Bukit Cahaya Seri Alam mengarahkan kerajaan Selangor mengambil tindakan tegas berhubung kemelut itu.

Perdana Menteri mahu tindakan itu diambil segera sebelum berlaku lagi masalah besar terutama kerosakan di kawasan itu sehingga tidak terkawal.

``Saya telah sebut mengenai perkara ini dalam mesyuarat tadi dan dengan memberi penjelasan bahawa kejadian seperti ini diharap tidak lagi berlaku di Selangor atau negeri-negeri lain,'' katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) petang ini.

Sementara itu, Utusan Malaysia diberitahu, Abdullah di dalam mesyuarat itu `berleter' dengan sikap pihak-pihak yang mengakibatkan berlaku situasi seperti itu.

Beliau yang dikatakan cukup kecewa turut menyebut ``apa sudah jadi sampai gondol... kalau macam ini lama-lama kawasan tadahan air pun tak ada lagi.''

Beliau dalam pada masa itu turut mencari-cari Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo bagi mendapatkan penjelasannya mengenai kejadian pembahagian tanah yang tidak terkawal di sempadan kawasan taman pertanian itu.

Bagaimanapun Mohamad Khir tiada. Beliau kini berada di Switzerland dan Amerika Syarikat untuk satu misi perdagangan.

Utusan Malaysia dalam laporan siasatannya Khamis lalu mendedahkan mengenai kegiatan pembangunan tidak terancang di sekeliling sempadan Taman Pertanian itu sehingga mengancam sistem ekologi dan biodiversiti di dalamnya.

Menurut laporan itu, Taman Pertanian seluas 800 hektar (2,000 ekar) kendalian Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani itu, hampir menjadi pulau kerana rata-rata sempadannya sedang dibangunkan sebagai kawasan penempatan manusia.

Apa yang menyedihkan, menurut laporan eksklusif itu, taman itu yang telah diluluskan oleh Kabinet untuk dijadikan Taman Botani Negara, taman agro-perhutanan terbesar di dunia menjelang 2007, kini menghadapi kesan alam sekitar yang dahsyat.

Siasatan itu juga mendapati sebuah kawasan baru seluas 1,200 hektar di Seksyen U10 bersempadan utara taman pertanian itu telah dipecah-pecahkan kepada 35 pemaju. Sementara di sebelah selatan pula kawasan seluas kira-kira 200 hektar diberi kepada sebuah syarikat pemaju (Bukit Bandaraya).

Akibat pembangunan inilah, siasatan itu mendapati berlakunya kemusnahan ekosistem yang teruk di dalam taman itu, selain pokok-pokok ditebang dan bukit-bukit digondolkan sewenang-wenangnya di kawasan pembangunan tersebut.

Berikutan laporan itu timbul pelbagai persoalan bagaimana kerajaan negeri boleh membahagi-bahagikan tanah itu kepada begitu banyak syarikat.

Semalam kerajaan negeri mengakui kelemahannya dalam menguat kuasa peraturan pembanguan di kawasan berkenaan yang disifatkan sebagai longgar.

Persoalan timbul lagi mengapa kerajaan negeri tidak sedar mengenainya sedangkan kawasan-kawasan projek itu terletak kurang 10 kilometer daripada Pejabat Menteri Besar.

Turut mendapat liputan media apabila arahan Mohamad Khir yang mahukan kerja-kerja di kawasan berkenaan dihentikan berikutan laporan Utusan Malaysia itu, turut tidak diendahkan pemaju terbabit.

Lebih mengusutkan keadaan apabila Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar pula mendedahkan bahawa pemaju-pemaju di situ tidak mempunyai kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) untuk menjalankan projek berkenaan.

Hari ini kesemua pemaju berkenaan akur untuk menghentikan projek masing-masing sehingga laporan daripada Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) dan Jabatan Mineral dan Geo Sains diperoleh bagi memastikan sama ada kawasan pembinaan di situ selamat atau tidak.

No comments: