Showing posts with label khairul nazri bin hj yaakub ses 050276. Show all posts
Showing posts with label khairul nazri bin hj yaakub ses 050276. Show all posts

Wednesday, October 3, 2007

bumi terancam...

Laporan Kualiti Alam Sekeliling 2003 menyatakan Malaysia turut mengalami kemerosotan kualiti alam sekitar di mana 51% sungai di Malaysia dikategorikan sebagai tercemar dan sedikit tercemar berpunca daripada pelepasan kumbahan, effluen industri dan aktiviti pembangunan. Penipisan lapisan ozon telah menyebabkan pemanasan global (global warming) dan membawa implikasi negatif ke atas tumbuh-tumbuhan dan kehidupan laut. Pelepasan bahan kimia dan buangan toksik seperti racun perosak DDT, polychlorinated biphenlys (PCBs) dan endocrine disruptors ke alam sekitar dikenalpasti boleh diserap oleh tubuh dan terkumpul di dalam tisu lemak (fatty tissues) manusia. Ini menyebabkan gangguan kepada fungsi hormon, kanser dan kecacatan kelahiran. Ancaman terhadap kepelbagaian biologi (biodiversity) boleh menjejaskan ekosistem (contoh - pembersihan air yang berlaku apabila air larian mengalir melalui ekosistem berkaitan dan tanah lembap).

Penulis turut mengenengahkan keperluan manusia memelihara alam sekitar dari perspektif agama. Perbincangan berkisar tentang pandangan Islam terhadap alam semesta; konsep Islam tentang pembangunan; konsep manusia sebagai khalifah; akauntabiliti terhadap Allah S.W.T. dan sesame manusia; serta konsep pemuliharaan alam sekitar sebagai satu ibadah. Secara umumnya setiap orang adalah bertanggungjawab ke atas semua tindak tanduknya termasuklah dalam aspek pemuliharaan alam sekitar dan ia akan dihisab di atas apa yang telah dipertanggungjawabkan ke atasnya.


Salah satu cabaran paling getir yang dihadapi manusia sekarang ialah menguruskan alam sekitar secara bijak. Natijah daripada pengurusan yang tidak bijak ialah tercetusnya krisis alam sekitar yang mengancam kehidupan manusia itu sendiri di atas planet ini. Tidak pernah terjadi ancaman itu sebegini meluas jangkauannya dan berpanjangan kesannya seperti ancaman yang dihadapi pada masa kini. Wawasan 2020 yang diilhamkan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamed juga mengenalpasti cabaran terhadap alam sekitar sebagai salah satu cabaran yang perlu ditangani oleh Malaysia dalam perjalanannya ke destinasi menjadi negara maju pada 2020.

Kalaulah alam sekitar itu penting untuk kelestarian pembangunan negara dan kelangsungan kehidupan manusia di planet ini, kenapakah kita masih acuh tak acuh memelihara dan memuliharanya?. Kenapakah amaran daripada pakar-pakar tidak diindah oleh kita semua?. Dalam kemelut yang bermacam ragam yang dihadapi dunia sekarang, ramai sarjana barat dan timur menganjurkan manusia kembali semula kepada agama untuk mendapat petunjuk untuk mengatasi kemelut ini. Apakah ada apa-apa peranan dapat dimainkan oleh agama dalam hal ini dan adakh agama dapat mengemukakan pedoman dan tuntunan yang boleh menyuluhi kegelapan yang dihadapi oleh manusia? Kertas ini akan cuba mengupas soalan penting ini.

2. KRISIS ALAM SEKITAR - SEPINTAS LALU

2.1 Pencemaran

Pencemaran udara termasuk carbon monoksida, ozon, sulfur dioksida, oksida-oksida nitrogen dan partikulat. Pencemarpencemar ini secara asasnya terhasil daripada pembakaran bahan api fossil, terutamanya oleh loji janakuasa yang menggunakan arangbatu dan kenderaan yang menggunakan petrol. Oksida-oksida nitrogen boleh menyebabkan terbentuknya ozon di paras bumi (ground level ozone). Partikulat pula dihasilkan dari pelbagai punca termasuk kenderaan disel. Udara di bandar - bandar biasanya mengandungi campuran pelbagai pencemar yang disebut di atas dan boleh mendatangkan pelbagai kesan negatif kepada manusia.

Pendedahan kepada karbon monoksida melambatkan tindakbalas dan menyebabkan rasa mengantuk dan nitrogen dioksida boleh memburukkan lagi penyakit lelah (asthma) dan mengurangkan fungsi paru-paru (lung function). Ozon juga menyebabkan inflamasi paru-paru (lung inflammation) dan mengurangkan fungsi paru-paru dan keupayaan bergerak (exercise capacity). Organisasi Kesihatan Dunia (World Health Organization) melaporkan bahawa tiga (3) juta orang mati setiap tahun disebabkan pencemaran udara. Ini adalah tiga (3) kali lebih tinggi daripada jumlah kematian yang disebabkan kemalangan kenderaan. Pencemaran air pula disebabkan oleh pelbagai aktiviti manusia termasuk pelepasan dari industri yang mengandungi pelbagai jenis pencemar termasuk bahan organik, bahan kimia dan juga pencemar fizikal.

Di antara pencemar ini yang berbahaya ialah logam-logam berat dan pelbagai non-biodegradable compounds yang sebahagiannya mempunyai kesan ketara ke atas kesihatan manusia di dalam jangkamasa panjang. Dunia telah menyaksikan dan sejarah telah merakamkan episod malapetaka alam sekitar di merata dunia. Malaysia juga tidak terlepas daripada berkongsi pengalaman mengalami kemerosotan kualiti alam sekitar, walaupun dalam skala yang lebih rendah. Laporan Kualiti Alam Sekeliling 2003 melaporkan kualiti udara di bandarbandar besar dan beberapa lokasi di Malaysia telah dicemari oleh pelepasan dari kenderaan dan juga industri. 51% daripada sungaisungai di Malaysia juga mengalami pencemaran dan dikategorikan sebagai tercemar dan sedikit tercemar, terutamanya disebabkan oleh pelepasan kumbahan, effluen industri dan aktiviti pembangunan tanah.

2.2 Penipisan Lapisan Ozon

Allah S.W.T. telah menyediakan lapisan gas (yang dikenali sebagai lapisan ozon) di ketinggian lebih kurang 20 - 40 km dari paras bumi berfungsi sebagai penghalang kepada sinaran ultra ungu (UV) daripada sampai ke permukaan bumi. UV adalah sinaran berkuasa tinggi yang merbahaya kepada manusia dan ekosistem. Namun begitu lapisan ozon ini telah mengalami kemusnahan dan menjadi nipis disebabkan oleh penggunaan bahan chlorofluoro carbon (CFC). Fenomena penipisan lapisan ozon ini dikenali umum sebagai fenomena Ôlubang ozonÕ (ozone hole).

CFC adalah kimia buatan manusia yang mempunyai pelbagai kegunaan oleh industri dan komersial. Penipisan lapisan ozon memberi implikasi ketara ke atas tumbuh-tumbuhan dan bendabenda bernyawa. Sinaran UV-B boleh menyebabkan penyakit mata (cataract, snow blindness), kanser kulit, mempengaruhi sistem kelalian (immune system) dan kemusnahan bahan genetic DNA. Walaupun kesan ke atas tumbuhan dan binatang kurang difahami daripada kesannya ke atas manusia, kajian menunjukkan tumbuhan mengalami kesan negatif daripada snaran UV. Hasil tanaman akan berkurangan dan ini bermakna penghasilan makanan yang lebih rendah dari setiap unit keluasan tanah. Kehidupan laut juga terjejas apabila sinaran UV mendatangkan kemudaratan ke atas plankton tumbuhan dan binatang.

Pelepasan CFC juga menyebabkan pemanasan global (global warming) melalui dua cara; iaitu pertamanya sebagai gas rumah hijau yang menyerap haba. Suhu bumi akan meningkat yang mengakibatkan perubahan iklim. Keduanya, pemusnahan ozon menyebabkan lebih banyak sinaran matahari masuk dan memanaskan atmosfera rendah. Pemanasan global boleh menyebabkan kawasankawasan rendah dan juga negara-negara yang terletak di paras rendah ditenggelami air akibat peningkatan paras laut. Peningkatan sinaran UV di permukaan bumi juga mengakibatkan pencemaran udara menjadi lebih buruk. Interaksi pelepasan dari punca bergerak dan industri menyediakan keadaan yang kondusif bagi penghasilan ozon, di permukaan bumi yang akibat peningkatan paras laut.

Peningkatan sinaran UV di permukaan bumi juga mengakibatkan pencemaran udara menjadi lebih buruk. Interaksi pelepasan dari punca bergerak dan industry menyediakan keadaan yang kondusif bagi penghasilan ozon, di permukaan bumi yang mana menjadi bahan toksik kepada manusia dan tumbuhan. Sinaran UV juga menyebabkan kerosakan dan kepada polimer yang digunakan di dalam bangunan, cat, bahan pembungkusan (packaging) dan lain-lain.

2.3 Bahan Kimia dan Buangan Toksik

Salah satu ciri kehidupan moden ialah kebergantungan manusia kepada bahan kimia. Setiap tahun beribu-ribu bahan kimia baru dihasilkan untuk pelbagai kegunaan. Terdapat banyak peringkat bahan-bahan kimia masuk ke alam sekitar seperti:
(i) Ada bahan kimia yang memang cara penggunaannya memerlukan produk tersebut sepenuhnya dimasukkan ke alam sekitar seperti racun makhluk perosak dan baja.
(ii) Semasa penggunaannya, sebahagian bahan akan dilepaskan ke alam sekitar seperti penguapan bahan pelarut dari cat dan gam (adhesives).
(iii) Pelupusan sisa buangan hasil dari proses industri.
(iv) Pelepasan pelarut terpakai, cecair pencuci (cleaning fluid), lubricants yang mungkin mengandungi pencemar-pencemar lain.
(v) Pelupusan bahan kimia dari drum kosong.
(vi) Kebocoran dari tangki penstoran.
(vii) Tumpahan semasa kemalangan industri.
(viii) Tumpahan semasa kemalangan pengangkutan.

Akibat buruk daripada pengurusan buangan toksik di masa lampau yang tidak teratur masih menghantui masyarakat dunia. Penggunaan racun makhluk perosak DDT secara tidak terkawal telah dikenalpasti menyebabkan bahan ini terkumpul di dalam tisu lemak (fatty tissues) manusia dan juga dalam kehidupan lain yang tinggal jauh dari tempat penggunaan bahan tersebut. Perkara ini telah dibangkitkan untuk perhatian masyarakat dunia pertama kali pada 1962 oleh Rachel Carson dalam bukunya Silent Spring. Pelepasan effluen mengandungi methyl mercury oleh sebuah kilang kimia di Teluk Minamata, Jepun telah menyebabkan beratus-ratus kes lumpuh dan kelumpuhan deria (sensory loss). Inorganic mercury ini telah mengalami proses bioaccumulation di dalam hidupan laut (shellfish) yang menjadi sumber protin penduduk di sekitar teluk tersebut.

Polychlorinated biphenyls (PCBs) juga, seperti DDT telah banyak digunakan di sekitar tahun 1960 - 1970 untuk pelbagai tujuan seperti transformer & coolant, plasticizer dan dalam pembuatan kertas tanpa karbon. Pendedahan kepada PCB dan polybrominated biphenyls (PBBs) boleh menyebabkan kaguguran dan kecacatan kelahiran. Namun begitu simbol pencemaran oleh bahan buangan toksik dan merbahaya ialah kes Love Canal, di Amerika Syarikat yang telah membuka mata di seluruh dunia. Buangan toksik telah dilupuskan dengan menanamnya di sebuah terusan yang tidak digunakan selama beberapa puluh tahun. Di atas tapak ini seterusnya dibangunkan sebuah sekolah dan di sekelilingnya juga dibina beratus-ratus rumah kediaman. Tidak berapa lama kemudian penduduk mula menghidu bau bahan kimia dan pelbagai penyakit yang berpunca daripada kimia dialami penduduk tersebut.

Akhirnya Kerajaan membeli kesemua rumah-rumah terlibat dan memindahkan penduduk ke tempat lain. Terdapat juga bahan yang disebut sebagai endocrine disruptors iaitu bahan kimia yang apabila diserap oleh tubuh boleh mengganggu fungsi hormon dan seterusnya boleh mengakibatkan pelbagai kesan dan penyakit seperti kesan ke atas sistem kelalian dan kanser. Endocrine disruptors yang telah dikenalpasti memberi kesan kepada manusia ialah dioksin, PCBs dan DDT. Banyak bahan kimia terutama racun makhluk perosak adalah suspected endocrine disruptors berdasarkan kajian yang terhad ke atas binatang.

2.4 Kepelbagaian Biologi (Biodiversity)

Kepelbagaian skala besar disebut kepelbagaian biologi (biodiversity) adalah penting untuk masa depan planet. Kepelbagaian biologi atau biod bermaksud kepelbagaian kehidupan di bumi ini dan kebergantungan mereka kepada satu yang lain. Perubahan atau kehilangan salah satu komponen boleh menyebabkan berlakunya impak yang tidak terjangka dan berbahaya kepada rantaian hidup yang dikenali sebagai ekosistem. Kehidupan manusia bergantung kepada biod melalui cara-cara yang tidak dihargai.

Kebanyakan sumber makanan manusia asalnya diambil dari sumber liar (wild resources) seperti bijirin dan perikanan laut. Kebergantungan kita kepada sumber kayu hutan masih jelas di seluruh dunia di mana sejumlah kecil sahaja dihasilkan dari hutan ladang. Empat daripada 150 ubat preskripsi teratas yang digunakan di Amerika Syarikat mempunyai asalnya daripada bahan semulajadi. Sebagai contoh aspirin pada mulanya diakstrak daripada kulit pokok willow. Eko-pelancongan juga mendapat manfaat dari interaksi kita dengan dunia semulajadi. Terdapat pelbagai bentuk perkhidmatan yang diberi oleh ekosistem (ecosystem services).

Salah satu contoh ialah pembersihan air yang berlaku apabila air larian mengalir melalui ekosistem berkaitan dan tanah lembab. Kewujudan tumbuhan juga berfungsi sebagai sinki yang efisyen bagi pencemarpencemar udara. Aliran air juga diregulasi oleh tumbuhantumbuhan yang terdapat di hulu limbangan yang dapat mengawal pemendapan dan banjir. Dalam jangkamasa yang panjang, kepelbagaian biologi memainkan peranan penting menyelenggara perkhidmatan ekosistem yang mengalami masa naik dan turunnya. Biologi dapat diumpamakan sebagai insurans kesihatan di mana ekosistem yang mempunyai pelbagai sepsis yang memberi fungsi yang sama mempunyai lebih daya tahan menghadapi tekanan alam sekitar dan pulih daripada ancaman dengan lebih cepat.

3. PANDANGAN ISLAM TERHADAP PENGURUSAN ALAM SEKITAR


Islam adalah agama yang membawa rahmat kepada manusia dan alam semesta. Ajaran Islam adalah syumul merangkumi segala aspek kehidupan manusia menjadikannya satu tatacara hidup (comprehensive code of life). Ia memadukan keperluan rohani dan jasmani, kepentingan duniawi dan ukhrawi. Setiap persoalan hidup diberi panduan dan saranan sama ada secara detil ataupun dalam bentuk kaedah-kaedah umum supaya tindaktanduk manusia dipimpin ke jalan yang akan memberi manfaat kepadanya dan alam semesta serta menjauhi kemusnahan dan kemudharatan. Kesyumulan Islam juga terserlah dengan ajaran-ajarannya yang bukan sahaja mengatur tatacara hubungan manusia dengan khaliqnya tetapi juga hubungan di antara manusia sesama manusia dan makhluk Tuhan yang lain. Islam adalah agama akidah dan syariah. Tujuan utama akidah ialah memurnikan perhubungan manusia dengan Tuhannya. Di antara tujuan syariat pula ialah menjaga keturunan, harta dan nyawa manusia. Pemusnahan dan pencemaran alam sekitar telah terbukti mengancam ketigatiga perkara tersebut di atas.


3.1 Pandangan Islam Terhadap Alam Semesta

Alam sekitar yang mengkagumkan yang mengelilingi kita; hutan dan tumbuhan yang hijau serta pelbagai warna yang meliputi sebahagian besar dunia; gunung-ganang yang perkasa yang
terpacak sebagai pasak menunjang ke bumi; lautan yang penuh misteri yang tidak henti-hentinya memukul ombak ke pantai, tidak dijadikan dengan sia-sia tanpa tujuan. Bukan saja setiap kejadian Allah S.W.T. mempunyai peranan masing-masing dalam hubungan intim yang disebut ekosistem, malah ianya memenuhi tujuan berikut:

(a) sebagai ayatullah, atau tanda-tanda kebesaran Alllah S.W.T.,
(b) sebagai buku ilmu, yang sentiasa bersedia untuk dikaji dan digali rahsia khazanah ilmu Allah S.W.T. yang tidak habishabisnya,
(c) sebagai hadiah daripada Allah S.W.T. kepada makhluknya untuk dimanfaatkan untuk kesenangan hidup di dunia ini. Allah S.W.T. telah menciptakan makhluk di alam semesta ini dengan penuh keseimbangan (mizan) sama ada dari segi kuantiti dan kualitinya.

Allah S.W.T. berfirman:
Sesungguhnya Kami menjadikan tiap-tiap sesuatu dengan Kadar
(Al-Qamar 54 : 49)

Tiap-tiap sesuatu di sisiNya mempunyai kadar
(Ar-Rad 13 : 8)

Kami tumuhkan tiap sesuatu dengan ukuran
(Al-Hijr 15 : 19)

Kepelbagaian bentuk dan fungsi makhluk ciptaan Allah S.W.T. ini sama ada yang bernyawa atau tidak saling lengkapmelengkapi membolekan alam semesta ini memainkan fungsi yang telah ditetapkan kepadanya dengan penuh tertib sesuai dengan kehendak Penciptanya. Allah S.W.T. juga telah menciptakan segala-galanya dengan penuh bijaksana dan dengan tujuan yang tertentu; bukan dengan sia-sia. Semua makhluk ciptaan Tuhan telah ditetapkan fungsi masing-masing dan simbiosis di antara yang bernyawa dan yang tidak bernyawa melahirkan manfaat dan kebaikan kepada semua.

Allah S.W.T. berfirman:
Bukanlah Kami jadikan langit, bumi dan apa-apa yang di antara keduanya dengan bermain-main. Tiadalah kami jadikan keduanya melainkan dengan kebenaran..
(Ad-Dukhan 44 : 38-39)

3.2 Konsep Islam tentang pembangunan
Pendekatan Islam terhadap usaha membangun dan memanfaatkan sumber-sumber asli dapat disimpulkan dari nasihat Sayyidina Ali bin Abi Talib, Khalifah keempat kepada seorang pengusaha yang telah membangunkan tanah terbiar: Usahakanlah dengan rasa gembira, asalkan engkau seorang yang membawa kepada kebaikan bukan kejahatan; yang berniat untuk membangunkan ladang bukan untuk mendatangkan kemusnahan (Athar diriwayatkan oleh Yahya ibnu Adam dalam kitab al-Kharaj)

Salah satu manifestasi ketidaksyukuran manusia kepada Allah S.W.T. ialah pembaziran dan pemborosan yang telah mengakibatkan pemusnahan sumber dan penghasilan bahan buangan yang bertambah-tambah kuantitinya setiap tahun. Hutan tropika yang penuh dengan khazanah yang tidak ternilai diterokai dan dimusnahkan dengan rakusnya melalui eksploitasi yang tidak berteraskan pengurusan lestari. Habitat untuk hidupan liar juga dimusnahkan bahkan hidupan itu sendiri dibunuh dengan kejam di mana sebahagian daripada badannya akan dijadikan hiasan. Inilah sifat syaitan yang sentiasa tidak bersyukur kepada Tuhannya.

Allah S.W.T. berfirman:
Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara syaitan dan syaitan itu amat engkar akan Tuhannya.
( Al-Israk 17 : 27)

Islam memahami dan memberi perhatian tentang dualisma sifat manusia: sifat fizikalnya (jasmani) dan sifat kejiwaannya (rohani). Prinsip pembangunan dalam Islam mengambilkira dualisme ini untuk mempastikan matlamat terakhir pembangunan fizikal ialah untuk menghasilkan ketenangan jiwa. Allah S.W.T. telah menjadikan bumi ini dan seluruh isinya untuk manfaat manusia dan manusia juga telah diperintahkan oleh Allah S.W.T. untuk membangunkan bumi ini.

Allah S.W.T. berfirman:
Dia yang menciptakan untukmu apa-apa yang di bumi semuanya
(Al-Baqarah 2 : 29)

Dia menjadikan kamu daripada bumi serta memakmurkanmu didalamnya

Nasib seekor tenggiling...

Pihak Berkuasa Thailand Rampas Tenggiling, Penyu Dari Pulau Pinang

BANGKOK, 27 Jun (Bernama) -- Pihak berkuasa Thailand merampas 60 kotak kayu yang mengandungi kira-kira 250 ekor tenggiling dan 64 ekor penyu spesies terancam yang diseludup dari Pulau Pinang ke Vientiane, Laos.

Berdasarkan maklumat awam, pihak berkuasa di lapangan terbang Don Muang di sini memeriksa kotak berkenaan, yang sepatutnya mengandungi penyu spesies biasa, tiba dengan penerbangan Thai Airways dari Pulau Pinang dan transit di sini.

Bangkok Post melaporkan pemeriksaan mendapati kontena itu diisi dengan tenggiling dan penyu itu, yang disenaraikan dalam Konvensyen Perdagangan Antarabangsa bagi Spesies Terancam (Cites), yang melarang perdagangan antarabangsa bagi spesies yang disenaraikan.

Lt Thanayod Kengkasikij dari Divisyen Perhutanan Polis berkata dari Laos, kemungkinan haiwan itu dihantar ke China, dengan peminat daging haiwan itu sedia membayar kira-kira dua juta baht untuknya.

Menggambarkannya sebagai satu daripada rampasan terbesar, Thanayod berkata beliau tidak faham kenapa polis dan kastam Malaysia gagal menghalangnya sebelum ia berlepas dari Pulau Pinang kerana konsainan itu agak besar dan mudah dikesan.

"Ia harus menjadi isyarat bagi negara-negara Asia untuk meningkatkan kerjasama untuk mencegah penyeludupan haiwan liar," katanya.

Dua pekerja sebuah agensi perkapalan tempatan yang tampil untuk menuntut kotak berkenaan telah ditahan untuk disoal siasat tetapi mereka menafikan sebarang penglibatan dalam penyeludupan haiwan liar.

Thailand terkenal sebagai pusat transit bagi perdagangan haram hidupan liar.

Thanayod berkata kebanyakan haiwan itu diseludup dari Indonesia dan Malaysia dan kebanyakannya dihantar ke restoran daging haiwan liar di China melalui Laos.

Mook Wongchyakul dari WildAid memberitahu akhbar itu, tenggiling dijual pada harga Bt1,800 hingga Bt3,000 baht seekor di sepanjang sempadan Thai-Laos. (RM1=Bt11)

Katanya seekor tenggiling bersaiz kecil boleh dijual pada harga Bt7,700 hingga Bt11,500 baht seekor di pasaran China dan haiwan itu dijual bagi daging dan kulitnya.

Di bawah undang-undang Thailand, penyeludup haiwan haram yang disabitkan boleh didenda sehingga Bt40,000 baht dan atau penjara empat tahun.

Biodiversiti dan Peranannya Terhadap Keseimbangan Alam Sekitar

Biodiversiti merupakan khazanah yang tidak ternilai dan menjadi warisan kepada generasi akan datang. Mendengar istilah biodiversiti mungkin ada di antara kita yang masih belum jelas mengenai takrifannya. Perkataan biodiversiti sebenarnya merupakan perkataan singkatan bagi ‘biological diversity' ataupun kepelbagaian biologi yang mana ia didefinisikan sebagai keanekaan di antara organisma hidup daripada pelbagai sumber baik daratan mahupun samudera dan lain-lain yang melangkaui ekosistem akuatik dan sebahagian daripada ekosistem yang kompleks yang termasuk di dalam kelompok spesies dan antara spesies dan ekosistemnya.Biodiversiti terbahagi kepada tiga peringkat iaitu kepelbagaian genetik, kepelbagaian spesies dan kepelbagaian ekosistem.

Kepelbagaian genetik merupakan kepelbagaian di dalam spesies yang diukur mengikut variasi dalam gen setiap tumbuhan, haiwan dan mikroorganisma. Kepelbagaian genetik berlaku dalam dan di antara populasi sesuatu spesies. Bagi kepelbagaian spesies pula ia merujuk kepada pelbagai organisma hidup di dunia. Manakala kepelbagaian ekosistem pula adalah merujuk kepada pelbagai habitat, komuniti biosis dan proses ekologi dalam persekitaran daratan, laut dan persekitaran akuatik yang lain.

Sebagai rakyat Malaysia kita patut berbangga kerana memiliki negara yang sangat kaya dengan biodiversitinya dan termasuk dalam lingkungan dua belas buah negara mega kepelbagaian biologi di dunia yang mana masih lagi mempunyai kekayaan biodiversiti yang dianggarkan antara 60% hingga 70% daripada jumlah biodiversiti dunia. Kepelbagaian tersebut dapat digambarkan melalui flora dan fauna yang masih wujud di negara kita pada hari ini. Didapati lebih kurang 12, 500 spesies tumbuh-tumbuhan berbunga dan lebih daripada 1,100 spesies paku pakis yang masih lagi menghuni hutan negara kita. Kebanyakan daripada spesies-spesies tersebut adalah sangat unik dan tidak ditemui di mana-mana tempat lain di dunia. Malah dari segi kepelbagaian spesies tumbuhan di Rantau Asia-Australia pula, negara kita masih lagi mengekalkan kedudukan di tempat kelima. Kalau dilihat daripada kedudukan negara kita, ia merupakan sesuatu yang sangat membanggakan kerana dalam kebimbangan negara-negara lain di dunia mengenai kepupusan habitat hutan serta sumber-sumber yang mendiaminya, namun kita masih lagi dapat mengekalkan khazanah yang sangat berharga ini.

Bagi spesies fauna, negara kita mempunyai kira-kira 1,500 haiwan vertebrata dan 150, 000 haiwan invertebrata. Walaupun jumlah bagi spesies tumbuhan dan haiwan vertebrata darat adalah tidak seberapa sebagaimana yang dimiliki oleh empat buah lagi negara lain di Asia Timur, namun Malaysia masih mempunyai bilangan yang terbanyak dari segi jumlah spesies per kilometer persegi. Kita patut bersyukur kepada Allah S.W.T. kerana masih lagi mempunyai kekayaan biodiversiti yang tidak ternilai yang menjadi sumber rezeki untuk keperluan kehidupan seharian kita. Malah rezeki yang Allah S.W.T. kurniakan kepada kita tidak terhitung banyaknya dan tidak pernah putus. Justeru, kita sebagai khalifah di bumi ini patut menghargai dan menggunakannya dengan sebaik mungkin.

Dalam Al-Quran ada menyebut bahawa Allah S.W.T. menjanjikan rezeki kepada setiap makhluk-Nya yang dilahirkan ke dunia ini seperti yang terkandung di dalam Surah Sabaa, Ayat 39 yang bermaksud "Katakanlah sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya di kalangan hamba-hamba-Nya dan Dia menyempitkan bagi (sesiapa yang dikehendaki-Nya). Dan barang siapa sahaja yang kamu nafkahkan (belanjakan), maka Allah S.W.T. akan menggantikannya dan Dialah juga sebaik-baik pemberi rezeki". Justeru, dalam konteks ini, biodiversiti merupakan sebahagian daripada rezeki anugerah Ilahi kepada kita di muka bumi ini. Oleh yang demikian, sebagai khalifah Allah, manusia diamanahkan untuk menguruskan rezeki kurniaan-Nya dengan penuh kebijaksanaan baik di daratan, lautan mahupun di angkasa.

Biodiversiti yang dikurniakan oleh Allah S.W.T. kepada kita merupakan nikmat yang sangat besar dalam kehidupan kita. Ia memainkan peranan yang sangat penting dalam mengekalkan keseimbangan alam sekitar kita. Bagaimanakah biodiversiti dikatakan membantu dalam proses keseimbangan alam sekitar? Jika kita amati, biodiversiti merangkumi satu spesies atau kombinasi spesies dan kekayaan; interaksi spesies, interaksi antara organisma dan komponen bukan hidup dalam persekitaran; tingkah laku; sejarah hidup dan kepelbagaian fisiologi; kepelbagaian fizikal habitat yang terdiri daripada pelbagai biologi semua habitat atau ekosistem yang berbeza di sesuatu kawasan. Dengan mengekalkan kekompleksan dalam ekosistem ini, ia akan menyumbang kepada keseimbangan alam sekitar yang sekaligus akan turut menjamin khidmat ekologi yang bernilai kepada manusia.

Setiap kejadian yang Allah S.W.T. ciptakan di atas muka bumi ini mempunyai alasan tersendiri. Sebagai contoh, spesies reptilia terutamanya ular mempunyai peranan tersendiri dalam mengekalkan keseimbangan ekosistem, dan penciptaannya bukan sekadar untuk menghuni alam tanpa sebarang sebab. Malah ia diperlukan dalam kehidupan manusia terutama dalam bidang pertanian padi yakni berperanan mengawal tanaman daripada serangan tikus dan serangan perosak yang lain. Bayangkan jika spesies reptilia ini pupus, pastinya manusia akan berdepan pelbagai masalah khususnya bagi mengawal pertanian daripada serangan perosak. Didapati kira-kira 99% potensi serangga perosak tanaman adalah dikawal oleh pelbagai jenis organisma merangkumi serangga, burung dan fungi (kulat) selain spesies reptilia yang disebutkan di atas.

Biodiversiti juga penting dalam pendebungaan dan pengeluaran hasil tanaman. Bagi kebanyakan tumbuh-tumbuhan berbunga, pembiakannya bergantung kepada beberapa spesies haiwan seperti lebah, rama-rama, kelawar dan sebagainya dalam membantunya membiak melalui pengangkutan debunga. Malah lebih daripada satu per tiga hasil tanaman makanan manusia sejagat adalah bergantung kepada pendebungaan semulajadi ini. Selain itu, kebanyakan spesies haiwan yang mendiami hutan kita juga turut memainkan peranan penting menjalankan fungsi tambahan dalam pembiakan tumbuhan melalui penyebaran biji benih. Di sini sangat jelas menggambarkan peri pentingnya peranan spesies fauna dalam mengekalkan keseimbanagn alam sekitar secara semulajadi.

Selain bertindak sebagai agen pendebungaan dan penyebaran biji benih, biodiversiti juga memainkan peranan penting dalam menstabilkan iklim. Di mana tisu tumbuhan dan bahan organik lain dalam lingkungan ekosistem daratan dan laut bertindak sebagai gedung kepada karbon yang membantu memperlahankan pembangunan karbon dioksida dalam atmosfera dan ia secara automatik membantu menyumbang kepada kestabilan iklim. Ekosistem juga turut mempengaruhi keupayaan langsung ke atas bentuk cuaca persekitaran. Sebagai contoh, lembapan yang dibebaskan ke atmosfera melalui hutan hujan menyebabkan hujan ribut malar dan akan menghadkan kadar kehilangan air daripada sesuatu kawasan dan membantu mengawal suhu permukaan. Sementara itu, dalam iklim sejuk ekosistem hutan bertindak sebagai penebat dan tampan angin bagi membantu mengurangkan kesan suhu dingin.

Biodiversiti bukan sahaja penting dalam proses menstabilkan iklim, malah ia juga memainkan peranan penting dalam mencegah dan mengurangkan kesan bencana alam. Hutan dan padang rumput misalnya sangat membantu dalam melindungi landskap daripada hakisan, kehilangan nutrien dan tanah runtuh melalui tindakan cengkaman akar. Bagi sesetengah ekosistem pantai seperti paya masin, paya bakau dan sebagainya sangat membantu dalam menghalang berlakunya hakisan pinggir pantai dan mengurangkan kesan bencana alam seperti tsunami.

Selain itu, biodiversiti juga memainkan peranan penting dalam penjanaan tanah dan pengekalan kualiti tanah. Fenomena ini berlaku melaui aktiviti mikrobiologi oleh spesies-spesies organisma seperti bakteria, alga, fungi, hama, mentibang dan cacing yang mana sangat penting dalam proses penghuraian tanah kepada bahan organik dan membebaskan nutrien penting yang diperlukan oleh tumbuhan untuk hidup. Proses tersebut memainkan peranan mustahak dalam kitaran elemen seperti nitrogen, karbon dan fosforus antara organisma hidup dan bukan hidup dalam biosfera.

Selain penting dalam proses penjanaan tanah, ia turut memainkan peranan dalam mengekalkan kualiti udara. Spesies tumbuhan bertindak membersih udara dan mengawal kandungan atmosfera, mengitar semula keperluan oksigen dan menapis partikel-partikel berbahaya yang terhasil daripada aktiviti-aktiviti industri.

Bukan itu sahaja, malah biodiversiti juga penting dalam mengekalkan kualiti air. Ekosistem tanah lembap(kawasan paya) misalnya membantu menyerap dan mengitar semula nutrien-nutrien penting, merawat kumbahan dan membersihkan sisa tanah. Di dalam sistem muara pula, moluska (binatang berbadan lembut dan bercangkerang) membantu menyingkirkan nutrien daripada air bagi menghalang pengayaan melampau nutrien dan mengelakkan kehadiraan masalah seperti terjadinya eutrofikasi (proses peningkatan laju input bahan organik ke muara atau secara umumnya adalah proses penyuburan perairan secara berlebihan disebabkan oleh kemasukan bahan organik) daripada proses penyalinan baja. Pokok-pokok dan tanah hutan pula bertindak membersih air yang mengalir melalui ekosistem hutan. Dalam proses menghalang tanah daripada dihanyutkan, ekosistem hutan juga berperanan membantu menghalang pemendapan kelodak berbahaya ke sungai dan empangan yang wujud daripada hakisan dan tanah runtuh.

Begitulah besarnya peranan biodiversiti dalam mengekalkan keseimbangan alam sekitar kita. Justeru itu, kewujudan biodiversiti jangka panjang adalah sangat perlu bagi memastikan keseimbangan dan kelestarian alam sekitar kita terus terpelihara. Kesedaran masyarakat mengenai peri pentingnya biodiversiti kepada pembangunan umah dan negara perlulah dipupuk dari masa ke semasa agar keselamatan biodiversiti kita terus terjamin. Selain itu, penambahbaikan ke atas pengurusan biodiversiti secara lestari perlu dilakukan bagi menjamin pengekalan khazanah tersebut untuk turut dinikmati oleh generasi akan datang. Oleh yang demikian, kita perlu mewujudkan satu garis panduan yang dapat melahirkan satu interaksi sihat antara manusia, biodiversiti dan alam sekitar yang didiami agar khazanah yang sangat berharga ini akan terus terpelihara.

biodiversiti

Ke arah melaksanakan pertanian ekologi
Berita Harian, 12 Nov 2002


SEKTOR pertanian hari ini menghadapi cabaran serius untuk meningkatkan hasil bagi memenuhi keperluan makanan selaras dengan populasi penduduk. Hasil pertanian perlu sentiasa ditingkatkan dan pada masa yang sama kita perlu memastikan sumber alam semula jadi tidak dieksploitasi secara keterlaluan yang boleh menyebabkan kerosakan.

Bagaimana, proses meningkatkan pengeluaran pertanian yang diamalkan sentiasa terdedah kepada kerosakan habitat sehingga menyebabkan pelbagai spesies musnah.

Di negara ini, dalam tempoh 1955 hingga 2000, pengeluaran makanan meningkat 2.6 peratus setahun, berbanding keperluan makanan meningkat antara 6 hingga 7 peratus setahun.

Bagaimanapun peningkatan kegiatan pengeluaran pertanian seperti yang diamalkan di kebanyakan negara di dunia, menimbulkan ancaman kepada sebahagian besar sistem ekologi semula jadi.

Pertanian tidak boleh dihentikan tetapi jika polisi pertanian yang diamalkan sekarang tidak diubah, tidak mustahil biodiversiti akan musnah dalam tempoh 50 tahun akan datang.

Hari ini biodiversiti terancam dan mungkin pupus kerana kegiatan manusia sendiri. Walaupun Malaysia adalah antara negara di dunia yang kaya dengan biodiversiti, tanpa pengurusan sistematik dan kesedaran semua pihak, biodiversiti akan musnah begitu saja.

Bidang ini perlu ada keseimbangan antara usaha untuk memulihara biodiversiti yang selalu dilaung-laungkan negara maju dengan hak negara membangun yang kaya dengan khazanah ini untuk menggunakan secara mapan.

Biodiversiti merujuk kepada unsur semula jadi yang meliputi haiwan, tumbuhan dan mikro organisma yang membantu sistem ekologi. Ia membantu mengekalkan kepentingan keseimbangan atmosfera bumi, melindungi tadahan air, memperbaharui tanah dan mengitar semula nutrien.

Kepentingan biodiversiti tidak dapat dinafikan, malah di sesetengah kawasan yang mempunyai jumlah biodiversiti yang sedikit seperti di gurun, kehadiran beberapa spesies di kawasan itu masing-masing mempunyai peranan penting kepada semua hidupan di kawasan itu.

Penyelidik Pemodelan Ekologi Pusat Penyelidikan Strategik, Alam Sekitar dan Sumber Semula Jadi di Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (Mardi), Dr Mohd Norowi Hamid, berkata haiwan termasuk serangga sebenarnya membantu produktiviti tumbuhan, selain menyumbang kepada kesuburan tanah dan mengatur populasi serangga perosak.

Katanya, tumbuhan serta rumput pula membantu memastikan sumber air bersih dan mengawal banjir, manakala mikro organisma memainkan peranan mengurai bahan organik termasuk membentuk tanah, membantu pergerakan udara dan air serta memusnahkan serangga perosak.

Banyak kajian mendapati ada langkah yang boleh dijalankan untuk mengendalikan pewujudan bersama antara hidupan alam sekitar dan pertanian.

Dr Mohd Norowi berkata, serangga turut menyumbang kepada ekologi, tanpanya fungsi ekosistem mungkin tidak seimbang.

“Serangga adalah antara binatang yang mula memproses tumbuhan kepada protein dan menyediakan makanan dalam rantai makanan dan turut bertindak sebagai ejen kitar semula.

“Malah serangga turut membantu meningkatkan tahap kesuburan tanah dan menjadi ejen pengawalan biologi serta ejen pendebungaan,” katanya.

Katanya, tanpa pengurusan sempurna, pertanian akan menghapuskan habitat hidupan liar.

Beliau berkata, kehilangan habitat yang disebabkan pembangunan pertanian dan perubahan tanah pertanian menjadi bandar dikenal pasti sebagai ancaman moden yang serius terhadap pengekalan biodiversiti.

Katanya, separuh daripada hutan, kawasan tropika digunakan untuk pembangunan, manakala lebih satu pertiga padang rumput dan savana turut digunakan untuk kegiatan pertanian.

Di Asia Tenggara, penggunaan tanah pertanian meningkat 11 juta hektar tanah dalam tempoh 1980-an hingga awal 1990-an dengan kebanyakannya adalah tanah hutan yang diterokai.

Selain itu pertanian turut menyebabkan pencemaran bahan kimia yang akhirnya boleh mengurangkan biodiversiti.

Setiap tahun, negara membelanjakan kira-kira RM300 juta untuk racun serangga dengan 75 hingga 85 peratus daripadanya adalah racun rumpai. Kebanyakan daripada racun serangga ini menyumbang kepada hasil tanaman.

“Dianggarkan separuh daripada pengeluaran gandum akan musnah jika petani tidak menggunakan racun serangga.

“Malangnya, kebanyakan racun serangga juga mempunyai kesan buruk terhadap biodiversiti, sama ada melalui racun kimia oleh haiwan atau melalui pencemaran air dan habitatnya,” katanya.

Sisa racun serangga boleh mengganggu hidupan dalam air dan pesisiran pantai, termasuk batu karang, hutan paya bakau dan rumpai laut.

Pertanian perlu diuruskan dengan baik bagi melindungi biodiversiti, nilai habitat dan pada masa sama menyediakan bekalan makanan serta pendapatan kepada penduduk.

Pengurusan ekosistem yang dijalankan dengan gabungan strategi untuk menyediakan sumber makanan dan pada masa sama melindungi haiwan boleh menjadi langkah berkesan pengekalan biodiversiti.

Pertanian berasaskan ekologi adalah sistem pertanian yang tidak bergantung sepenuhnya kepada bahan kimia, sebaliknya menggunakan tindak balas ekologi sedia ada untuk meningkatkan produktiviti dan perlindungan.

Melalui pengurusan kegunaan biodiversiti ini, dunia tidak perlu lagi bergantung sepenuhnya kepada bahan kimia.

Sebagai pusat mega biodiversiti, Malaysia mempunyai banyak pilihan ejen biologi yang lebih selamat digunakan termasuk bakteria, tumbuhan, haiwan dan bahan galian.

Ejen biologi secara amnya mempunyai sasaran yang terhad dan mekanisme tindak balas yang khusus untuk menghapuskan perosak.

Ada tiga jenis ejen biologi bagi mengawal makhluk perosak iaitu ejen tumbuhan, biokimia dan mikrob. Ejen tumbuhan dihasilkan daripada bahan biak baka yang dimasukkan dalam sesuatu pokok.

Ejen biokimia pula adalah bahan asli yang mempunyai mekanisme tindak balas tidak bersifat toksik, manakala ejen mikrob terdiri daripada bakteria, kulat, virus dan protozoa sebagai bahan aktif.

Pertanian organik adalah antara pertanian ekologi yang bergantung kepada sumber semula jadi untuk meningkatkan hasil pertanian dan pemprosesan makanan.

Dr Norowi berkata, antara strategi mewujudkan dasar pertanian ekologi ialah dengan mengurangkan kemusnahan habitat melalui peningkatan produktiviti pertanian dan pengekalan tanah pertanian sedia ada.

Katanya, jika produktiviti ditingkatkan, keperluan untuk membuka kawasan pertanian baru menurun dan secara tidak langsung mengelak daripada pemusnahan habitat biodiversiti.

Selain itu, katanya, penyediaan sebahagian kecil kawasan pertanian bertujuan mengekalkan habitat tumbuhan dan haiwan sedia ada turut menyumbang kepada pertanian ekologi.

Sebagai contoh, katanya, negara Eropah turut memberikan bayaran kepada petani yang mengekalkan habitat semula jadi di ladang mereka.

Beliau berkata, kita juga perlu melindungi lebih banyak kawasan berhampiran tanah pertanian yang mengekalkan habitat asal kerana ia boleh bertindak meningkatkan produktiviti pertanian, selain menjadi kawasan tadahan hujan.

Pelaksanaan kaedah pertanian yang mengurangkan pencemaran perlu diamalkan bagi mewujudkan pertanian ekologi.

Sistem pertanian intensif melalui penggunaan racun serangga dan baja boleh meningkatkan hasil tetapi penggunaan yang berlebihan tanpa pengurusan cekap boleh menyebabkan pencemaran alam sekitar melalui sisa penggunaan racun dan baja.

Contohnya di Wilayah Yunnan, selatan China, petani berjaya mengurangkan penggunaan racun serangga melalui penanaman pelbagai jenis padi dalam satu kawasan yang boleh mengawal masalah penyakit.

Kajian menunjukkan melalui kaedah itu membantu mencegah penyakit dan secara tidak langsung meningkatkan hasil sehingga 89 peratus.

Peningkatan kaedah pengurusan sumber semula jadi juga membantu banyak spesies liar yang berbeza hidup. Contohnya kaedah pembalakan yang baik akan mencegah kerosakan dan meningkatkan pokok yang ada terus hidup.

Pertanian berasaskan ekologi menyediakan garis panduan untuk membangunkan kepelbagaian kaedah yang memberikan kelebihan kepada kesan gabungan tumbuhan dan haiwan biodiversiti.

Pertanian ekologi berupaya meningkatkan ekonomi dan mengekalkan agrosistem melalui sistem pengurusan yang selaras dengan keadaan alam sekitar dan sosio ekonomi.

Dalam strategi pertanian berasaskan ekologi ini, komponen pengurusan mementingkan pengekalan dan perkembangan sumber pertanian seperti tanah, fauna, tumbuhan dan biodiversiti dengan menitikberatkan kaedah pembangunan yang menggalakkan petani turut bekerjasama menjalankan kegiatan pertanian yang selaras dengan keperluan sosio ekonomi dan keadaan alam sekitar.

Peningkatan kesedaran di kalangan orang ramai dan masyarakat mengenai isu biodiversiti penting dengan setiap orang mempunyai tanggungjawab untuk menghormati kewujudan makhluk di dunia, di samping mengurangkan tindakan yang boleh merosakkan alam sekitar kerana setiap organisme mempunyai fungsi tersendiri dan saling berkait rapat dalam memastikan dunia ini terus sejahtera.

Tidak salah jika masyarakat turut menghormati alam sekitar yang menyumbang kepada kesempurnaan kehidupan.

Biodiversiti berpotensi untuk dimajukan, misalnya, tumbuh-tumbuhan dan mikro organisme jadi produk berguna seperti ubat-ubatan dan produk industri.

Biodiversiti berfungsi penting dalam memastikan alam sekitar di sesebuah negara atau tempat itu terus stabil dan tidak tercemar.

Contohnya, dengan adanya hutan yang dijaga baik, kita juga dapat memperoleh sumber air bersih di samping memastikan udara bersih dan suhu panas tidak meningkat secara mendadak.

Biodiversiti yang diurus secara baik juga boleh mendatangkan pendapatan tinggi kepada negara. Sebagai contoh, hasil balak yang diuruskan secara mapan, ikan di laut yang terus boleh ditangkap oleh nelayan serta tumbuh-tumbuhan, mikro organisme yang berpotensi dijadikan bahan industri atau ubat-ubatan.

Langkah pemuliharaan alam sekitar harus dijalankan dengan rasional dan pragmatik iaitu mengambil kira kemampuan dan juga kepentingan sesebuah negara.

Tidak dinafikan negara perlu meningkatkan pembangunan demi kepentingan ekonomi tetapi khazanah alam semula jadi perlu dipulihara demi kepentingan bersama dan warisan untuk generasi akan datang.