Wednesday, October 3, 2007

Biodiversiti dan Peranannya Terhadap Keseimbangan Alam Sekitar

Biodiversiti merupakan khazanah yang tidak ternilai dan menjadi warisan kepada generasi akan datang. Mendengar istilah biodiversiti mungkin ada di antara kita yang masih belum jelas mengenai takrifannya. Perkataan biodiversiti sebenarnya merupakan perkataan singkatan bagi ‘biological diversity' ataupun kepelbagaian biologi yang mana ia didefinisikan sebagai keanekaan di antara organisma hidup daripada pelbagai sumber baik daratan mahupun samudera dan lain-lain yang melangkaui ekosistem akuatik dan sebahagian daripada ekosistem yang kompleks yang termasuk di dalam kelompok spesies dan antara spesies dan ekosistemnya.Biodiversiti terbahagi kepada tiga peringkat iaitu kepelbagaian genetik, kepelbagaian spesies dan kepelbagaian ekosistem.

Kepelbagaian genetik merupakan kepelbagaian di dalam spesies yang diukur mengikut variasi dalam gen setiap tumbuhan, haiwan dan mikroorganisma. Kepelbagaian genetik berlaku dalam dan di antara populasi sesuatu spesies. Bagi kepelbagaian spesies pula ia merujuk kepada pelbagai organisma hidup di dunia. Manakala kepelbagaian ekosistem pula adalah merujuk kepada pelbagai habitat, komuniti biosis dan proses ekologi dalam persekitaran daratan, laut dan persekitaran akuatik yang lain.

Sebagai rakyat Malaysia kita patut berbangga kerana memiliki negara yang sangat kaya dengan biodiversitinya dan termasuk dalam lingkungan dua belas buah negara mega kepelbagaian biologi di dunia yang mana masih lagi mempunyai kekayaan biodiversiti yang dianggarkan antara 60% hingga 70% daripada jumlah biodiversiti dunia. Kepelbagaian tersebut dapat digambarkan melalui flora dan fauna yang masih wujud di negara kita pada hari ini. Didapati lebih kurang 12, 500 spesies tumbuh-tumbuhan berbunga dan lebih daripada 1,100 spesies paku pakis yang masih lagi menghuni hutan negara kita. Kebanyakan daripada spesies-spesies tersebut adalah sangat unik dan tidak ditemui di mana-mana tempat lain di dunia. Malah dari segi kepelbagaian spesies tumbuhan di Rantau Asia-Australia pula, negara kita masih lagi mengekalkan kedudukan di tempat kelima. Kalau dilihat daripada kedudukan negara kita, ia merupakan sesuatu yang sangat membanggakan kerana dalam kebimbangan negara-negara lain di dunia mengenai kepupusan habitat hutan serta sumber-sumber yang mendiaminya, namun kita masih lagi dapat mengekalkan khazanah yang sangat berharga ini.

Bagi spesies fauna, negara kita mempunyai kira-kira 1,500 haiwan vertebrata dan 150, 000 haiwan invertebrata. Walaupun jumlah bagi spesies tumbuhan dan haiwan vertebrata darat adalah tidak seberapa sebagaimana yang dimiliki oleh empat buah lagi negara lain di Asia Timur, namun Malaysia masih mempunyai bilangan yang terbanyak dari segi jumlah spesies per kilometer persegi. Kita patut bersyukur kepada Allah S.W.T. kerana masih lagi mempunyai kekayaan biodiversiti yang tidak ternilai yang menjadi sumber rezeki untuk keperluan kehidupan seharian kita. Malah rezeki yang Allah S.W.T. kurniakan kepada kita tidak terhitung banyaknya dan tidak pernah putus. Justeru, kita sebagai khalifah di bumi ini patut menghargai dan menggunakannya dengan sebaik mungkin.

Dalam Al-Quran ada menyebut bahawa Allah S.W.T. menjanjikan rezeki kepada setiap makhluk-Nya yang dilahirkan ke dunia ini seperti yang terkandung di dalam Surah Sabaa, Ayat 39 yang bermaksud "Katakanlah sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya di kalangan hamba-hamba-Nya dan Dia menyempitkan bagi (sesiapa yang dikehendaki-Nya). Dan barang siapa sahaja yang kamu nafkahkan (belanjakan), maka Allah S.W.T. akan menggantikannya dan Dialah juga sebaik-baik pemberi rezeki". Justeru, dalam konteks ini, biodiversiti merupakan sebahagian daripada rezeki anugerah Ilahi kepada kita di muka bumi ini. Oleh yang demikian, sebagai khalifah Allah, manusia diamanahkan untuk menguruskan rezeki kurniaan-Nya dengan penuh kebijaksanaan baik di daratan, lautan mahupun di angkasa.

Biodiversiti yang dikurniakan oleh Allah S.W.T. kepada kita merupakan nikmat yang sangat besar dalam kehidupan kita. Ia memainkan peranan yang sangat penting dalam mengekalkan keseimbangan alam sekitar kita. Bagaimanakah biodiversiti dikatakan membantu dalam proses keseimbangan alam sekitar? Jika kita amati, biodiversiti merangkumi satu spesies atau kombinasi spesies dan kekayaan; interaksi spesies, interaksi antara organisma dan komponen bukan hidup dalam persekitaran; tingkah laku; sejarah hidup dan kepelbagaian fisiologi; kepelbagaian fizikal habitat yang terdiri daripada pelbagai biologi semua habitat atau ekosistem yang berbeza di sesuatu kawasan. Dengan mengekalkan kekompleksan dalam ekosistem ini, ia akan menyumbang kepada keseimbangan alam sekitar yang sekaligus akan turut menjamin khidmat ekologi yang bernilai kepada manusia.

Setiap kejadian yang Allah S.W.T. ciptakan di atas muka bumi ini mempunyai alasan tersendiri. Sebagai contoh, spesies reptilia terutamanya ular mempunyai peranan tersendiri dalam mengekalkan keseimbangan ekosistem, dan penciptaannya bukan sekadar untuk menghuni alam tanpa sebarang sebab. Malah ia diperlukan dalam kehidupan manusia terutama dalam bidang pertanian padi yakni berperanan mengawal tanaman daripada serangan tikus dan serangan perosak yang lain. Bayangkan jika spesies reptilia ini pupus, pastinya manusia akan berdepan pelbagai masalah khususnya bagi mengawal pertanian daripada serangan perosak. Didapati kira-kira 99% potensi serangga perosak tanaman adalah dikawal oleh pelbagai jenis organisma merangkumi serangga, burung dan fungi (kulat) selain spesies reptilia yang disebutkan di atas.

Biodiversiti juga penting dalam pendebungaan dan pengeluaran hasil tanaman. Bagi kebanyakan tumbuh-tumbuhan berbunga, pembiakannya bergantung kepada beberapa spesies haiwan seperti lebah, rama-rama, kelawar dan sebagainya dalam membantunya membiak melalui pengangkutan debunga. Malah lebih daripada satu per tiga hasil tanaman makanan manusia sejagat adalah bergantung kepada pendebungaan semulajadi ini. Selain itu, kebanyakan spesies haiwan yang mendiami hutan kita juga turut memainkan peranan penting menjalankan fungsi tambahan dalam pembiakan tumbuhan melalui penyebaran biji benih. Di sini sangat jelas menggambarkan peri pentingnya peranan spesies fauna dalam mengekalkan keseimbanagn alam sekitar secara semulajadi.

Selain bertindak sebagai agen pendebungaan dan penyebaran biji benih, biodiversiti juga memainkan peranan penting dalam menstabilkan iklim. Di mana tisu tumbuhan dan bahan organik lain dalam lingkungan ekosistem daratan dan laut bertindak sebagai gedung kepada karbon yang membantu memperlahankan pembangunan karbon dioksida dalam atmosfera dan ia secara automatik membantu menyumbang kepada kestabilan iklim. Ekosistem juga turut mempengaruhi keupayaan langsung ke atas bentuk cuaca persekitaran. Sebagai contoh, lembapan yang dibebaskan ke atmosfera melalui hutan hujan menyebabkan hujan ribut malar dan akan menghadkan kadar kehilangan air daripada sesuatu kawasan dan membantu mengawal suhu permukaan. Sementara itu, dalam iklim sejuk ekosistem hutan bertindak sebagai penebat dan tampan angin bagi membantu mengurangkan kesan suhu dingin.

Biodiversiti bukan sahaja penting dalam proses menstabilkan iklim, malah ia juga memainkan peranan penting dalam mencegah dan mengurangkan kesan bencana alam. Hutan dan padang rumput misalnya sangat membantu dalam melindungi landskap daripada hakisan, kehilangan nutrien dan tanah runtuh melalui tindakan cengkaman akar. Bagi sesetengah ekosistem pantai seperti paya masin, paya bakau dan sebagainya sangat membantu dalam menghalang berlakunya hakisan pinggir pantai dan mengurangkan kesan bencana alam seperti tsunami.

Selain itu, biodiversiti juga memainkan peranan penting dalam penjanaan tanah dan pengekalan kualiti tanah. Fenomena ini berlaku melaui aktiviti mikrobiologi oleh spesies-spesies organisma seperti bakteria, alga, fungi, hama, mentibang dan cacing yang mana sangat penting dalam proses penghuraian tanah kepada bahan organik dan membebaskan nutrien penting yang diperlukan oleh tumbuhan untuk hidup. Proses tersebut memainkan peranan mustahak dalam kitaran elemen seperti nitrogen, karbon dan fosforus antara organisma hidup dan bukan hidup dalam biosfera.

Selain penting dalam proses penjanaan tanah, ia turut memainkan peranan dalam mengekalkan kualiti udara. Spesies tumbuhan bertindak membersih udara dan mengawal kandungan atmosfera, mengitar semula keperluan oksigen dan menapis partikel-partikel berbahaya yang terhasil daripada aktiviti-aktiviti industri.

Bukan itu sahaja, malah biodiversiti juga penting dalam mengekalkan kualiti air. Ekosistem tanah lembap(kawasan paya) misalnya membantu menyerap dan mengitar semula nutrien-nutrien penting, merawat kumbahan dan membersihkan sisa tanah. Di dalam sistem muara pula, moluska (binatang berbadan lembut dan bercangkerang) membantu menyingkirkan nutrien daripada air bagi menghalang pengayaan melampau nutrien dan mengelakkan kehadiraan masalah seperti terjadinya eutrofikasi (proses peningkatan laju input bahan organik ke muara atau secara umumnya adalah proses penyuburan perairan secara berlebihan disebabkan oleh kemasukan bahan organik) daripada proses penyalinan baja. Pokok-pokok dan tanah hutan pula bertindak membersih air yang mengalir melalui ekosistem hutan. Dalam proses menghalang tanah daripada dihanyutkan, ekosistem hutan juga berperanan membantu menghalang pemendapan kelodak berbahaya ke sungai dan empangan yang wujud daripada hakisan dan tanah runtuh.

Begitulah besarnya peranan biodiversiti dalam mengekalkan keseimbangan alam sekitar kita. Justeru itu, kewujudan biodiversiti jangka panjang adalah sangat perlu bagi memastikan keseimbangan dan kelestarian alam sekitar kita terus terpelihara. Kesedaran masyarakat mengenai peri pentingnya biodiversiti kepada pembangunan umah dan negara perlulah dipupuk dari masa ke semasa agar keselamatan biodiversiti kita terus terjamin. Selain itu, penambahbaikan ke atas pengurusan biodiversiti secara lestari perlu dilakukan bagi menjamin pengekalan khazanah tersebut untuk turut dinikmati oleh generasi akan datang. Oleh yang demikian, kita perlu mewujudkan satu garis panduan yang dapat melahirkan satu interaksi sihat antara manusia, biodiversiti dan alam sekitar yang didiami agar khazanah yang sangat berharga ini akan terus terpelihara.

No comments: