Wednesday, October 3, 2007

Nasib seekor tenggiling...

Pihak Berkuasa Thailand Rampas Tenggiling, Penyu Dari Pulau Pinang

BANGKOK, 27 Jun (Bernama) -- Pihak berkuasa Thailand merampas 60 kotak kayu yang mengandungi kira-kira 250 ekor tenggiling dan 64 ekor penyu spesies terancam yang diseludup dari Pulau Pinang ke Vientiane, Laos.

Berdasarkan maklumat awam, pihak berkuasa di lapangan terbang Don Muang di sini memeriksa kotak berkenaan, yang sepatutnya mengandungi penyu spesies biasa, tiba dengan penerbangan Thai Airways dari Pulau Pinang dan transit di sini.

Bangkok Post melaporkan pemeriksaan mendapati kontena itu diisi dengan tenggiling dan penyu itu, yang disenaraikan dalam Konvensyen Perdagangan Antarabangsa bagi Spesies Terancam (Cites), yang melarang perdagangan antarabangsa bagi spesies yang disenaraikan.

Lt Thanayod Kengkasikij dari Divisyen Perhutanan Polis berkata dari Laos, kemungkinan haiwan itu dihantar ke China, dengan peminat daging haiwan itu sedia membayar kira-kira dua juta baht untuknya.

Menggambarkannya sebagai satu daripada rampasan terbesar, Thanayod berkata beliau tidak faham kenapa polis dan kastam Malaysia gagal menghalangnya sebelum ia berlepas dari Pulau Pinang kerana konsainan itu agak besar dan mudah dikesan.

"Ia harus menjadi isyarat bagi negara-negara Asia untuk meningkatkan kerjasama untuk mencegah penyeludupan haiwan liar," katanya.

Dua pekerja sebuah agensi perkapalan tempatan yang tampil untuk menuntut kotak berkenaan telah ditahan untuk disoal siasat tetapi mereka menafikan sebarang penglibatan dalam penyeludupan haiwan liar.

Thailand terkenal sebagai pusat transit bagi perdagangan haram hidupan liar.

Thanayod berkata kebanyakan haiwan itu diseludup dari Indonesia dan Malaysia dan kebanyakannya dihantar ke restoran daging haiwan liar di China melalui Laos.

Mook Wongchyakul dari WildAid memberitahu akhbar itu, tenggiling dijual pada harga Bt1,800 hingga Bt3,000 baht seekor di sepanjang sempadan Thai-Laos. (RM1=Bt11)

Katanya seekor tenggiling bersaiz kecil boleh dijual pada harga Bt7,700 hingga Bt11,500 baht seekor di pasaran China dan haiwan itu dijual bagi daging dan kulitnya.

Di bawah undang-undang Thailand, penyeludup haiwan haram yang disabitkan boleh didenda sehingga Bt40,000 baht dan atau penjara empat tahun.

No comments: