Wednesday, October 3, 2007

bumi terancam...

Laporan Kualiti Alam Sekeliling 2003 menyatakan Malaysia turut mengalami kemerosotan kualiti alam sekitar di mana 51% sungai di Malaysia dikategorikan sebagai tercemar dan sedikit tercemar berpunca daripada pelepasan kumbahan, effluen industri dan aktiviti pembangunan. Penipisan lapisan ozon telah menyebabkan pemanasan global (global warming) dan membawa implikasi negatif ke atas tumbuh-tumbuhan dan kehidupan laut. Pelepasan bahan kimia dan buangan toksik seperti racun perosak DDT, polychlorinated biphenlys (PCBs) dan endocrine disruptors ke alam sekitar dikenalpasti boleh diserap oleh tubuh dan terkumpul di dalam tisu lemak (fatty tissues) manusia. Ini menyebabkan gangguan kepada fungsi hormon, kanser dan kecacatan kelahiran. Ancaman terhadap kepelbagaian biologi (biodiversity) boleh menjejaskan ekosistem (contoh - pembersihan air yang berlaku apabila air larian mengalir melalui ekosistem berkaitan dan tanah lembap).

Penulis turut mengenengahkan keperluan manusia memelihara alam sekitar dari perspektif agama. Perbincangan berkisar tentang pandangan Islam terhadap alam semesta; konsep Islam tentang pembangunan; konsep manusia sebagai khalifah; akauntabiliti terhadap Allah S.W.T. dan sesame manusia; serta konsep pemuliharaan alam sekitar sebagai satu ibadah. Secara umumnya setiap orang adalah bertanggungjawab ke atas semua tindak tanduknya termasuklah dalam aspek pemuliharaan alam sekitar dan ia akan dihisab di atas apa yang telah dipertanggungjawabkan ke atasnya.


Salah satu cabaran paling getir yang dihadapi manusia sekarang ialah menguruskan alam sekitar secara bijak. Natijah daripada pengurusan yang tidak bijak ialah tercetusnya krisis alam sekitar yang mengancam kehidupan manusia itu sendiri di atas planet ini. Tidak pernah terjadi ancaman itu sebegini meluas jangkauannya dan berpanjangan kesannya seperti ancaman yang dihadapi pada masa kini. Wawasan 2020 yang diilhamkan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamed juga mengenalpasti cabaran terhadap alam sekitar sebagai salah satu cabaran yang perlu ditangani oleh Malaysia dalam perjalanannya ke destinasi menjadi negara maju pada 2020.

Kalaulah alam sekitar itu penting untuk kelestarian pembangunan negara dan kelangsungan kehidupan manusia di planet ini, kenapakah kita masih acuh tak acuh memelihara dan memuliharanya?. Kenapakah amaran daripada pakar-pakar tidak diindah oleh kita semua?. Dalam kemelut yang bermacam ragam yang dihadapi dunia sekarang, ramai sarjana barat dan timur menganjurkan manusia kembali semula kepada agama untuk mendapat petunjuk untuk mengatasi kemelut ini. Apakah ada apa-apa peranan dapat dimainkan oleh agama dalam hal ini dan adakh agama dapat mengemukakan pedoman dan tuntunan yang boleh menyuluhi kegelapan yang dihadapi oleh manusia? Kertas ini akan cuba mengupas soalan penting ini.

2. KRISIS ALAM SEKITAR - SEPINTAS LALU

2.1 Pencemaran

Pencemaran udara termasuk carbon monoksida, ozon, sulfur dioksida, oksida-oksida nitrogen dan partikulat. Pencemarpencemar ini secara asasnya terhasil daripada pembakaran bahan api fossil, terutamanya oleh loji janakuasa yang menggunakan arangbatu dan kenderaan yang menggunakan petrol. Oksida-oksida nitrogen boleh menyebabkan terbentuknya ozon di paras bumi (ground level ozone). Partikulat pula dihasilkan dari pelbagai punca termasuk kenderaan disel. Udara di bandar - bandar biasanya mengandungi campuran pelbagai pencemar yang disebut di atas dan boleh mendatangkan pelbagai kesan negatif kepada manusia.

Pendedahan kepada karbon monoksida melambatkan tindakbalas dan menyebabkan rasa mengantuk dan nitrogen dioksida boleh memburukkan lagi penyakit lelah (asthma) dan mengurangkan fungsi paru-paru (lung function). Ozon juga menyebabkan inflamasi paru-paru (lung inflammation) dan mengurangkan fungsi paru-paru dan keupayaan bergerak (exercise capacity). Organisasi Kesihatan Dunia (World Health Organization) melaporkan bahawa tiga (3) juta orang mati setiap tahun disebabkan pencemaran udara. Ini adalah tiga (3) kali lebih tinggi daripada jumlah kematian yang disebabkan kemalangan kenderaan. Pencemaran air pula disebabkan oleh pelbagai aktiviti manusia termasuk pelepasan dari industri yang mengandungi pelbagai jenis pencemar termasuk bahan organik, bahan kimia dan juga pencemar fizikal.

Di antara pencemar ini yang berbahaya ialah logam-logam berat dan pelbagai non-biodegradable compounds yang sebahagiannya mempunyai kesan ketara ke atas kesihatan manusia di dalam jangkamasa panjang. Dunia telah menyaksikan dan sejarah telah merakamkan episod malapetaka alam sekitar di merata dunia. Malaysia juga tidak terlepas daripada berkongsi pengalaman mengalami kemerosotan kualiti alam sekitar, walaupun dalam skala yang lebih rendah. Laporan Kualiti Alam Sekeliling 2003 melaporkan kualiti udara di bandarbandar besar dan beberapa lokasi di Malaysia telah dicemari oleh pelepasan dari kenderaan dan juga industri. 51% daripada sungaisungai di Malaysia juga mengalami pencemaran dan dikategorikan sebagai tercemar dan sedikit tercemar, terutamanya disebabkan oleh pelepasan kumbahan, effluen industri dan aktiviti pembangunan tanah.

2.2 Penipisan Lapisan Ozon

Allah S.W.T. telah menyediakan lapisan gas (yang dikenali sebagai lapisan ozon) di ketinggian lebih kurang 20 - 40 km dari paras bumi berfungsi sebagai penghalang kepada sinaran ultra ungu (UV) daripada sampai ke permukaan bumi. UV adalah sinaran berkuasa tinggi yang merbahaya kepada manusia dan ekosistem. Namun begitu lapisan ozon ini telah mengalami kemusnahan dan menjadi nipis disebabkan oleh penggunaan bahan chlorofluoro carbon (CFC). Fenomena penipisan lapisan ozon ini dikenali umum sebagai fenomena Ôlubang ozonÕ (ozone hole).

CFC adalah kimia buatan manusia yang mempunyai pelbagai kegunaan oleh industri dan komersial. Penipisan lapisan ozon memberi implikasi ketara ke atas tumbuh-tumbuhan dan bendabenda bernyawa. Sinaran UV-B boleh menyebabkan penyakit mata (cataract, snow blindness), kanser kulit, mempengaruhi sistem kelalian (immune system) dan kemusnahan bahan genetic DNA. Walaupun kesan ke atas tumbuhan dan binatang kurang difahami daripada kesannya ke atas manusia, kajian menunjukkan tumbuhan mengalami kesan negatif daripada snaran UV. Hasil tanaman akan berkurangan dan ini bermakna penghasilan makanan yang lebih rendah dari setiap unit keluasan tanah. Kehidupan laut juga terjejas apabila sinaran UV mendatangkan kemudaratan ke atas plankton tumbuhan dan binatang.

Pelepasan CFC juga menyebabkan pemanasan global (global warming) melalui dua cara; iaitu pertamanya sebagai gas rumah hijau yang menyerap haba. Suhu bumi akan meningkat yang mengakibatkan perubahan iklim. Keduanya, pemusnahan ozon menyebabkan lebih banyak sinaran matahari masuk dan memanaskan atmosfera rendah. Pemanasan global boleh menyebabkan kawasankawasan rendah dan juga negara-negara yang terletak di paras rendah ditenggelami air akibat peningkatan paras laut. Peningkatan sinaran UV di permukaan bumi juga mengakibatkan pencemaran udara menjadi lebih buruk. Interaksi pelepasan dari punca bergerak dan industri menyediakan keadaan yang kondusif bagi penghasilan ozon, di permukaan bumi yang akibat peningkatan paras laut.

Peningkatan sinaran UV di permukaan bumi juga mengakibatkan pencemaran udara menjadi lebih buruk. Interaksi pelepasan dari punca bergerak dan industry menyediakan keadaan yang kondusif bagi penghasilan ozon, di permukaan bumi yang mana menjadi bahan toksik kepada manusia dan tumbuhan. Sinaran UV juga menyebabkan kerosakan dan kepada polimer yang digunakan di dalam bangunan, cat, bahan pembungkusan (packaging) dan lain-lain.

2.3 Bahan Kimia dan Buangan Toksik

Salah satu ciri kehidupan moden ialah kebergantungan manusia kepada bahan kimia. Setiap tahun beribu-ribu bahan kimia baru dihasilkan untuk pelbagai kegunaan. Terdapat banyak peringkat bahan-bahan kimia masuk ke alam sekitar seperti:
(i) Ada bahan kimia yang memang cara penggunaannya memerlukan produk tersebut sepenuhnya dimasukkan ke alam sekitar seperti racun makhluk perosak dan baja.
(ii) Semasa penggunaannya, sebahagian bahan akan dilepaskan ke alam sekitar seperti penguapan bahan pelarut dari cat dan gam (adhesives).
(iii) Pelupusan sisa buangan hasil dari proses industri.
(iv) Pelepasan pelarut terpakai, cecair pencuci (cleaning fluid), lubricants yang mungkin mengandungi pencemar-pencemar lain.
(v) Pelupusan bahan kimia dari drum kosong.
(vi) Kebocoran dari tangki penstoran.
(vii) Tumpahan semasa kemalangan industri.
(viii) Tumpahan semasa kemalangan pengangkutan.

Akibat buruk daripada pengurusan buangan toksik di masa lampau yang tidak teratur masih menghantui masyarakat dunia. Penggunaan racun makhluk perosak DDT secara tidak terkawal telah dikenalpasti menyebabkan bahan ini terkumpul di dalam tisu lemak (fatty tissues) manusia dan juga dalam kehidupan lain yang tinggal jauh dari tempat penggunaan bahan tersebut. Perkara ini telah dibangkitkan untuk perhatian masyarakat dunia pertama kali pada 1962 oleh Rachel Carson dalam bukunya Silent Spring. Pelepasan effluen mengandungi methyl mercury oleh sebuah kilang kimia di Teluk Minamata, Jepun telah menyebabkan beratus-ratus kes lumpuh dan kelumpuhan deria (sensory loss). Inorganic mercury ini telah mengalami proses bioaccumulation di dalam hidupan laut (shellfish) yang menjadi sumber protin penduduk di sekitar teluk tersebut.

Polychlorinated biphenyls (PCBs) juga, seperti DDT telah banyak digunakan di sekitar tahun 1960 - 1970 untuk pelbagai tujuan seperti transformer & coolant, plasticizer dan dalam pembuatan kertas tanpa karbon. Pendedahan kepada PCB dan polybrominated biphenyls (PBBs) boleh menyebabkan kaguguran dan kecacatan kelahiran. Namun begitu simbol pencemaran oleh bahan buangan toksik dan merbahaya ialah kes Love Canal, di Amerika Syarikat yang telah membuka mata di seluruh dunia. Buangan toksik telah dilupuskan dengan menanamnya di sebuah terusan yang tidak digunakan selama beberapa puluh tahun. Di atas tapak ini seterusnya dibangunkan sebuah sekolah dan di sekelilingnya juga dibina beratus-ratus rumah kediaman. Tidak berapa lama kemudian penduduk mula menghidu bau bahan kimia dan pelbagai penyakit yang berpunca daripada kimia dialami penduduk tersebut.

Akhirnya Kerajaan membeli kesemua rumah-rumah terlibat dan memindahkan penduduk ke tempat lain. Terdapat juga bahan yang disebut sebagai endocrine disruptors iaitu bahan kimia yang apabila diserap oleh tubuh boleh mengganggu fungsi hormon dan seterusnya boleh mengakibatkan pelbagai kesan dan penyakit seperti kesan ke atas sistem kelalian dan kanser. Endocrine disruptors yang telah dikenalpasti memberi kesan kepada manusia ialah dioksin, PCBs dan DDT. Banyak bahan kimia terutama racun makhluk perosak adalah suspected endocrine disruptors berdasarkan kajian yang terhad ke atas binatang.

2.4 Kepelbagaian Biologi (Biodiversity)

Kepelbagaian skala besar disebut kepelbagaian biologi (biodiversity) adalah penting untuk masa depan planet. Kepelbagaian biologi atau biod bermaksud kepelbagaian kehidupan di bumi ini dan kebergantungan mereka kepada satu yang lain. Perubahan atau kehilangan salah satu komponen boleh menyebabkan berlakunya impak yang tidak terjangka dan berbahaya kepada rantaian hidup yang dikenali sebagai ekosistem. Kehidupan manusia bergantung kepada biod melalui cara-cara yang tidak dihargai.

Kebanyakan sumber makanan manusia asalnya diambil dari sumber liar (wild resources) seperti bijirin dan perikanan laut. Kebergantungan kita kepada sumber kayu hutan masih jelas di seluruh dunia di mana sejumlah kecil sahaja dihasilkan dari hutan ladang. Empat daripada 150 ubat preskripsi teratas yang digunakan di Amerika Syarikat mempunyai asalnya daripada bahan semulajadi. Sebagai contoh aspirin pada mulanya diakstrak daripada kulit pokok willow. Eko-pelancongan juga mendapat manfaat dari interaksi kita dengan dunia semulajadi. Terdapat pelbagai bentuk perkhidmatan yang diberi oleh ekosistem (ecosystem services).

Salah satu contoh ialah pembersihan air yang berlaku apabila air larian mengalir melalui ekosistem berkaitan dan tanah lembab. Kewujudan tumbuhan juga berfungsi sebagai sinki yang efisyen bagi pencemarpencemar udara. Aliran air juga diregulasi oleh tumbuhantumbuhan yang terdapat di hulu limbangan yang dapat mengawal pemendapan dan banjir. Dalam jangkamasa yang panjang, kepelbagaian biologi memainkan peranan penting menyelenggara perkhidmatan ekosistem yang mengalami masa naik dan turunnya. Biologi dapat diumpamakan sebagai insurans kesihatan di mana ekosistem yang mempunyai pelbagai sepsis yang memberi fungsi yang sama mempunyai lebih daya tahan menghadapi tekanan alam sekitar dan pulih daripada ancaman dengan lebih cepat.

3. PANDANGAN ISLAM TERHADAP PENGURUSAN ALAM SEKITAR


Islam adalah agama yang membawa rahmat kepada manusia dan alam semesta. Ajaran Islam adalah syumul merangkumi segala aspek kehidupan manusia menjadikannya satu tatacara hidup (comprehensive code of life). Ia memadukan keperluan rohani dan jasmani, kepentingan duniawi dan ukhrawi. Setiap persoalan hidup diberi panduan dan saranan sama ada secara detil ataupun dalam bentuk kaedah-kaedah umum supaya tindaktanduk manusia dipimpin ke jalan yang akan memberi manfaat kepadanya dan alam semesta serta menjauhi kemusnahan dan kemudharatan. Kesyumulan Islam juga terserlah dengan ajaran-ajarannya yang bukan sahaja mengatur tatacara hubungan manusia dengan khaliqnya tetapi juga hubungan di antara manusia sesama manusia dan makhluk Tuhan yang lain. Islam adalah agama akidah dan syariah. Tujuan utama akidah ialah memurnikan perhubungan manusia dengan Tuhannya. Di antara tujuan syariat pula ialah menjaga keturunan, harta dan nyawa manusia. Pemusnahan dan pencemaran alam sekitar telah terbukti mengancam ketigatiga perkara tersebut di atas.


3.1 Pandangan Islam Terhadap Alam Semesta

Alam sekitar yang mengkagumkan yang mengelilingi kita; hutan dan tumbuhan yang hijau serta pelbagai warna yang meliputi sebahagian besar dunia; gunung-ganang yang perkasa yang
terpacak sebagai pasak menunjang ke bumi; lautan yang penuh misteri yang tidak henti-hentinya memukul ombak ke pantai, tidak dijadikan dengan sia-sia tanpa tujuan. Bukan saja setiap kejadian Allah S.W.T. mempunyai peranan masing-masing dalam hubungan intim yang disebut ekosistem, malah ianya memenuhi tujuan berikut:

(a) sebagai ayatullah, atau tanda-tanda kebesaran Alllah S.W.T.,
(b) sebagai buku ilmu, yang sentiasa bersedia untuk dikaji dan digali rahsia khazanah ilmu Allah S.W.T. yang tidak habishabisnya,
(c) sebagai hadiah daripada Allah S.W.T. kepada makhluknya untuk dimanfaatkan untuk kesenangan hidup di dunia ini. Allah S.W.T. telah menciptakan makhluk di alam semesta ini dengan penuh keseimbangan (mizan) sama ada dari segi kuantiti dan kualitinya.

Allah S.W.T. berfirman:
Sesungguhnya Kami menjadikan tiap-tiap sesuatu dengan Kadar
(Al-Qamar 54 : 49)

Tiap-tiap sesuatu di sisiNya mempunyai kadar
(Ar-Rad 13 : 8)

Kami tumuhkan tiap sesuatu dengan ukuran
(Al-Hijr 15 : 19)

Kepelbagaian bentuk dan fungsi makhluk ciptaan Allah S.W.T. ini sama ada yang bernyawa atau tidak saling lengkapmelengkapi membolekan alam semesta ini memainkan fungsi yang telah ditetapkan kepadanya dengan penuh tertib sesuai dengan kehendak Penciptanya. Allah S.W.T. juga telah menciptakan segala-galanya dengan penuh bijaksana dan dengan tujuan yang tertentu; bukan dengan sia-sia. Semua makhluk ciptaan Tuhan telah ditetapkan fungsi masing-masing dan simbiosis di antara yang bernyawa dan yang tidak bernyawa melahirkan manfaat dan kebaikan kepada semua.

Allah S.W.T. berfirman:
Bukanlah Kami jadikan langit, bumi dan apa-apa yang di antara keduanya dengan bermain-main. Tiadalah kami jadikan keduanya melainkan dengan kebenaran..
(Ad-Dukhan 44 : 38-39)

3.2 Konsep Islam tentang pembangunan
Pendekatan Islam terhadap usaha membangun dan memanfaatkan sumber-sumber asli dapat disimpulkan dari nasihat Sayyidina Ali bin Abi Talib, Khalifah keempat kepada seorang pengusaha yang telah membangunkan tanah terbiar: Usahakanlah dengan rasa gembira, asalkan engkau seorang yang membawa kepada kebaikan bukan kejahatan; yang berniat untuk membangunkan ladang bukan untuk mendatangkan kemusnahan (Athar diriwayatkan oleh Yahya ibnu Adam dalam kitab al-Kharaj)

Salah satu manifestasi ketidaksyukuran manusia kepada Allah S.W.T. ialah pembaziran dan pemborosan yang telah mengakibatkan pemusnahan sumber dan penghasilan bahan buangan yang bertambah-tambah kuantitinya setiap tahun. Hutan tropika yang penuh dengan khazanah yang tidak ternilai diterokai dan dimusnahkan dengan rakusnya melalui eksploitasi yang tidak berteraskan pengurusan lestari. Habitat untuk hidupan liar juga dimusnahkan bahkan hidupan itu sendiri dibunuh dengan kejam di mana sebahagian daripada badannya akan dijadikan hiasan. Inilah sifat syaitan yang sentiasa tidak bersyukur kepada Tuhannya.

Allah S.W.T. berfirman:
Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara syaitan dan syaitan itu amat engkar akan Tuhannya.
( Al-Israk 17 : 27)

Islam memahami dan memberi perhatian tentang dualisma sifat manusia: sifat fizikalnya (jasmani) dan sifat kejiwaannya (rohani). Prinsip pembangunan dalam Islam mengambilkira dualisme ini untuk mempastikan matlamat terakhir pembangunan fizikal ialah untuk menghasilkan ketenangan jiwa. Allah S.W.T. telah menjadikan bumi ini dan seluruh isinya untuk manfaat manusia dan manusia juga telah diperintahkan oleh Allah S.W.T. untuk membangunkan bumi ini.

Allah S.W.T. berfirman:
Dia yang menciptakan untukmu apa-apa yang di bumi semuanya
(Al-Baqarah 2 : 29)

Dia menjadikan kamu daripada bumi serta memakmurkanmu didalamnya

No comments: